Sunday, November 11, 2012

RIBA


RIBA
 
Definisi
Kata “riba”  bererti bertambah, subur atau lebih.  Di antara pengertian atau definisinya menurut hukum syarak ialah:
 
1. Akad bagi membuat pertukaran barang yang tertentu tidak diketahui persamaannya mengikut kiraan syarak ketika akad atau diketahui persamaannya tetapi dengan menangguhkan kedua-dua tukaran itu atau salah satunya.
2. Pertambahan pada pertukaran emas dan perak juga pada jenis-jenis benda makanan.
 
 
Hukum Perbuatan Riba
Perbuatan riba hukumnya haram dan berdosa besar. 

Dalil
Ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang menunjukkan haram dan kotornya perbuatan riba:
 
1.   Surah al-Baqarah ayat 275 ertinya:
Dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan  riba.

2.   Surah al-Baqarah ayat 278 ertinya:
Wahai orang-orang yang beriman! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan sisa-sisa riba itu, jika kamu orang beriman

3.   Hadith daripada Ibnu Mas’ud r.a. ertinya:
Bahawa Nabi s.a.w. melaknat pemakan riba, pemberinya, saksinya dan juru tulisnya. 

4.   Hadith daripada Jabir r.a. ertinya:
Rasulullah s.a.w. melaknat pemakan riba, pemberinya, juru tulisnya, saksinya dan baginda berkata: “Mereka itu sama sahaja.”
 
 







Hikmah Pengharaman Riba
Islam  mengharamkan riba kerana akibatnya terlalu buruk terhadap anggota masyarakat.  Riba merupakan penindasan dan pemerasan orang-orang kaya terhadap orang-orang miskin.  Sebahagian manusia menganggap riba sama saja dengan jualbeli kerana kedua-duanya boleh mendatangkan keuntungan.  Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya kerana kedua-duanya jauh berbeza. 

Jualbeli diharuskan kerana mendatangkan faedah yang besar kepada masyarakat. Walaupun jual-beli boleh mendatangkan keuntungan yang berlipat-ganda, namun ia juga terdedah kepada kerugian. Kadang-kadang jualbeli mendatangkan keuntungan dan kadang-kadang mendatangkan kerugian.   Hal ini berlainan sekali dengan riba kerana riba sama sekali tidak terdedah kepada kerugian, malah sentiasa mendatangkan keuntungan.
 
Dalam masyarakat kita bukan sedikit orang-orang yang berhutang kepada ceti-ceti, bergadai kepada pajak gadai secara riba yang telah kehilangan kebun getah, sawah padi dan sebagainya kerana tidak mampu membayar hutang, membayar bunga, membayar faedah (interest)  yang dikenakan berlipat-ganda ke atas mereka.  Sebaliknya pihak pemakan riba bertambah kaya-raya dan senang-lenang.  Pendeknya  perbuatan riba merupakan suatu penindasan dan cengkaman yang amat buruk terhadap anggota masyarakat.  Di akhirat kelak mereka akan mendapat hukuman daripada Allah.  Surah al-Baqarah ayat 275 ertnya:
Orang-orang yang memakan riba, tidak berdiri, melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan. Yang  demikian kerana mereka berkata: jualbeli itu sama seperti riba, padahal Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.
 
Kesimpulannya:
   1.  Riba merupakan pemerasan dan penindasan yang terkutuk.
   2.  Riba menghilangkan rasa tolong menolong di antara satu sama lain.
   3.  Riba menambahkan kemelaratan dan kesusahan ke atas orang-orang susah dan miskin.
   4.  Riba menanamkan semangat tamak haloba kepada  orang-orang yang  berada dan kaum pemodal, sebaliknya menimbulkan semangat kebencian dan hasad dengki di dalam hati orang-orang miskin.
   5.  Orang-orang yang terlibat dengan riba, di akhirat kelak akan menerima hukuman berat daripada Allah.

Kerana keburukan-keburukan itulah, Islam mengharamkan perbuatan riba dan mengutuk keras ka atas orang-orang yang terlibat dalam urusan riba.
 

Benda-benda Riba
Benda-benda yang terdapat padanya riba adalah sebagaimana tersebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada ’Ubadah bin al-Samit daripada Nabi s.a.w. berkata baginda:
 
Ertinya:
Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam, sama-sama banyak dengan tunai. Maka jika berlainan jenis-jenis ini, hendaklah kamu jual sebagaimana yang kamu kehendaki secara tunai.
 

Sebab (’illat) Pengharaman
Secara garis kasarnya, benda-benda riba tercantum dalam dua perkara, iaitu:
 
1. Benda-benda makanan
2. Emas dan perak
 
Benda-benda riba itu bukanlah hanya terkhas kepada enam perkara benda-benda yang tersebut di atas sahaja.  Benda-benda yang tersebut itu hanyalah sebagai dasar ’illat pengharaman sahaja.  Mazhab Syafii menetapkan illat pengharaman benda-benda makanan sebagi ‘makanan’ ; illat pengharaman emas dan perak ialah kerana kedua-duanya itu merupakan “nilai bagi sesuatu”.  Tetapi mazhab Hanafi menetapkan illat pengharamannya sebagai “sukatan dan timbangan”.
 
 
Jenis-jenis Riba
Riba terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

      1. Riba al-Nasiah:   Riba yang dibayar lebih kerana bertangguh pembayarannya.  Riba jenis ini paling banyak terjadi di kalangan masyarakat kita.
 
      2. Riba Fadhli:  Riba yang dibayar lebih pada satu pihak penukaran seperti ditukar segantang beras malinja dengan dua gantang beras siam.
 
      3. Riba al-Yad:  Riba kerana tidak berterimaan di dalam majlis akad.
 


Syarat-syarat Penjualan Barang-Barang Riba
 
Tidak harus menjual barang-barang jenis riba sesama jenisnya dan yang bukan sesama jenisnya kecuali dengan syarat-syarat seperti berikut:
 
      1. Sesama jenisnya:
 
            Jika dijual barang-barang makanan dengan makanan sesama jenisnya  seperti gandum dengan gandum, beras dengan beras, dan juga jika dijual emas dengan emas, perak dengan perak, disyaratkan tiga perkara, iaitu:
 
a. Hendaklah bersamaan kedua-duanya pada sukatan atau timbangan
b. Hendaklah dengan tunai
c. Hendaklah berterimaan di dalam majlis akad.
 
 
      2. Tidak sesama jenisnya:
 
             Jika dijual benda-benda tidak sesama jenisnya seperti gandum dengan beras, gandum dengan syair, emas dengan perak, disyaratkan dua perkara, iaitu:
 
a. Hendaklah dengan tunai
b. Hendaklah berterimaan di dalam majlis akad
 
Ertinya jika dijual barang-barang bukan sesama jenisnya, boleh berlebih kurang di antara satu sama lain.
 

Benda-benda Yang Berlainan Bangsa
Bagi benda-benda yang berlainan bangsa dan jenisnya seperti padi dengan wang, beras dengan kain atau sebagainya, tidak dikenakan apa-apa syarat padanya.
 
Termasuk juga dalam golongan riba jika diberi hutang dan disyaratkan membayar lebih kepada tuan hutang. 

Oleh kerana perbuatan riba ini amat merbahaya dan terkutuk, wajiblah setiap orang berhati-hati dalam menjalankan segala jenis urusan muamalat.


RIBA
1. Erti Riba
- Pada bahasa ialah bertambah atau subur.
- Pada Syarak ialah aqad bagi sesuatu pertukaran barang-barang yang tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan syarak ketika aqad atau diketahui persamaannya dengan menggunakan kedua-dua pertukaran itu atau salah satu dari keduanya.


2. Jenis-Jenis Riba
a) Riba’ Al-Fadhl – riba yang dibayar lebih pada satu pihak yang menukarkan barang.
Contohnya: Satu kilo beras mahsuri ditukar dengan satu kilo beras yang lain ( berlainan kualiti dan jenis ).

b) Riba’ Al-Yad - riba’ yang dibayar lebih kerana tidak diterima dalam majlis aqad jualbeli.
Contohnya: Seseorang yang beraqad sebanyak RM 100.00 tetapi
apabila diluar aqad dibayar RM 105.00.

c) Riba’ Al-Nasi’ah – riba’ yang dibayar lebih kerana dilewatkan pembayarannya.
Contohnya: Pinjaman sebanyak RM 100.00 maka dibayar balik
RM 120.00


3. Dalil-dalil pengharaman riba
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba’. ”
(Surah Al-Baqarah: Ayat 275)

Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud:
“Allah s.w.t telah melaknatkan orang yang makan riba’ orang yang berwakil padanya dan jurutulisnya dan saksi-saksinya dan mereka berkata mereka itu sama sahaja. “
(Riwayat Muslim)



4. Hikmah diharamkan riba

- Riba adalah merupakan satu penindasan dan pemerasan terhadap orang-orang miskin kerana yang miskin bertambah miskin, fikirannya bertambah bimbang kerana memikirkan tentang bagaimana hendak membayar hutangnya yang sentiasa bertambah bunganya bila lambat dibayar.
- Pihak yang memakan riba’ akan bertambah kaya dan senang.
- Riba’ akan mendorong pemakannya hidup senang-lenang tanpa bekerja dan berusaha sedangkan Islam menggalakkan umatnya untuk berusaha dan bekerja.
- Riba boleh merenggangkan merosakkan perhubungan di antara orang kaya pemakan riba’ dengan orang miskin seterusnya akan menimbulkan kekacauan di dalam masyarakat dan negara timbullah di sana-sini rompakan, pembunuhan dan sebagainya.


5. Syarat-syarat penjualan barang-barang untuk mengelakkan riba:
Barang yang sama jenis:
a) Hendaklah sama sukatan atau timbangan keduanya.
b) Hendaklah sama dengan tunai.
c) Hendaklah berterimaan di dalam majlis aqad.

Barang yang tidak sama jenis:
a) hendaklah dengan tunai.
b) hendaklah berterimaan di dalam majlis aqad.


6. Jika barang pertukaran itu berlainan jenis seperti beras dan wang dan sebagainya tidak dikenakan apa-apa syarat dan boleh dijualbeli sebagaimana dalam persetujuan antara kedua pihak.

No comments:

Post a Comment